Mulu Eco Challenge 2026 perkasa ekopelancongan, tonjol keunikan alam semula jadi Sarawak
MULU: Penganjuran Mulu Eco Challenge 2026 dilihat sebagai platform strategik dalam memperkasa sektor ekopelancongan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman, di samping mempromosikan keindahan alam semula jadi negeri ini ke peringkat antarabangsa.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersama GRIT Event Management itu berlangsung seawal jam 7.00 pagi di Daerah Kecil Mulu pada Ahad dengan penyertaan peserta dari pelbagai lokasi yang hadir untuk menguji ketahanan fizikal dan mental dalam persekitaran mencabar.
Majlis pelepasan (flag-off) telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran acara seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, malah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi Sarawak kepada dunia luar.
“Program seperti Mulu Eco Challenge ini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan, khususnya dalam menarik minat pelancong serta penggemar sukan lasak dari dalam dan luar negara,” katanya.
Tambah beliau, keunikan Gunung Mulu National Park yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan khazanah gua batu kapur, hutan hujan tropika serta biodiversiti yang kaya menjadikan kawasan itu antara destinasi utama ekopelancongan di Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua pihak yang terlibat atas komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran penganjuran program berkenaan.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, Pegawai Daerah Miri, Siti Rohani Yusof serta Pengarah Program Eco Challenge 2026, Awang Saifeluddin Awangku Karim.-EDISI UKAS