Sarawak Fokus Pembangunan Inklusif Selaras PCDS 2030
BINTULU: Pembangunan inklusif meliputi kawasan bandar dan luar bandar terus menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemajuan negeri dinikmati secara menyeluruh dan saksama oleh rakyat, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan, pendekatan tersebut bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan fizikal, malah turut menitikberatkan pengukuhan hubungan sosial sebagai asas membentuk masyarakat yang harmoni, stabil dan bersatu padu.
Katanya, perpaduan merupakan elemen penting dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Perpaduan penting bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat serta mewujudkan masyarakat yang harmoni dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama Premier Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu, pada Isnin.
Menurut beliau, pelaksanaan pembangunan inklusif ini sejajar dengan tiga teras utama PCDS 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial serta kelestarian alam sekitar yang menjadi panduan hala tuju pembangunan negeri.
Majlis seumpama ini katanya berperanan sebagai platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat dan pemimpin, sekali gus membina kepercayaan serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
Dalam konteks pembangunan setempat pula jelasnya, Bintulu dilihat sebagai contoh kerjasama erat antara kerajaan, industri dan komuniti dalam membentuk ekosistem pembangunan yang seimbang dan harmoni.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar negeri bukan hanya terletak pada kemajuan fizikal, tetapi juga pada keutuhan perpaduan masyarakat yang menjadi tunjang kepada kestabilan dan kemakmuran jangka panjang.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak akan terus komited memastikan pembangunan yang dilaksanakan kekal seimbang, termasuk memperkukuh ekonomi tempatan, membangunkan bandar mampan serta menjaga kebajikan rakyat secara berterusan.-EDISI UKAS