KUCHING: Golongan nelayan diseru untuk beralih kepada penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan hasil tangkapan serta daya saing industri perikanan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestrian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abg Hipni berkata, penggunaan teknologi moden seperti GPS, sonar serta data ramalan cuaca perlu diperluas dalam kalangan nelayan bagi meningkatkan hasil tangkapan dan kecekapan operasi.
Menurutnya, langkah digitalisasi termasuk pemasaran hasil laut melalui platform e-dagang juga mampu membuka peluang pasaran lebih luas kepada komuniti nelayan.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Sri Muara, Demak Laut, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Dr Hazland berkata sektor perikanan kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim yang menjejaskan hasil tangkapan, peningkatan kos operasi serta persaingan daripada aktiviti penangkapan tidak sah.
Sehubungan itu, katanya, usaha pemodenan perlu disertai dengan peningkatan kemahiran nelayan termasuk menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang tersebut.
Dalam majlis yang sama, beliau telah mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM30,000 kepada PNK Sri Muara.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah LKIM Sarawak Zulkarnain Othman serta Pengrusi PNK Sri Muara Ibrahim Sapek.-EDISI UKAS