Perpaduan jadi teras sambutan ulang tahun Tokong Fung Kung ke-19
KANOWIT: Perpaduan dan keharmonian kaum terus menjadi tunjang kekuatan masyarakat di kawasan Machan apabila sambutan Hari Jadi Tokong Fung Kung ke-19 diraikan dengan penuh meriah di Nanga Sah, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong dalam hantaran di Facebook rasminya pada Isnin, menyifatkan sambutan itu sebagai manifestasi kukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
"Sambutan sebegini penting dalam memelihara tradisi dan kepercayaan, di samping menjadi platform untuk kita sama-sama mengeratkan silaturahim.
“Ia mencerminkan perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian di kawasan Machan khususnya," katanya.
Sehubungan itu, Allan merakam penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas usaha menganjurkan majlis yang bukan sahaja menjadi warisan budaya dan keagamaan, tetapi turut berperanan sebagai wadah memperkukuh hubungan antara kaum.
Beliau turut berharap agar semangat kebersamaan dan toleransi yang ditonjolkan sepanjang majlis dapat diteruskan demi menjamin kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan, Dr. Stephen William; Pemancha Leong Khiee Hee; serta barisan kaunselor, kapitan, dan tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS