Projek Jalan Sentebu–Bukit Kinyau Masih Tunggu Kelulusan Kos Tambahan
SARIKEI: Projek pembinaan Jalan Sentebu di Sarikei ke Kampung Bukit Kinyau yang dinanti-nantikan penduduk kini masih berada di peringkat kelulusan kos tambahan, berikutan kos keseluruhan meningkat selepas melalui kajian kejuruteraan terperinci.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab memaklumkan, projek tersebut pada asalnya diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan siling peruntukan sebanyak RM80 juta.
Namun, jelas beliau, hasil daripada makmal kajian kejuruteraan dan reka bentuk semula, anggaran kos projek meningkat kepada sekitar RM146.7 juta bagi keseluruhan pakej.
“Projek ini melibatkan pembinaan jalan berturap sepanjang kira-kira 15.5 kilometer dengan lebar 6 meter mengikut standard JKR R1, selain pembinaan dua buah jambatan konkrit masing-masing sepanjang 96 meter dan 116 meter,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Bukit Kinyau pada Isnin selepas diajukan pertanyaan oleh penduduk setempat mengenai perkembangan projek tersebut.
Menurut Dato Ir. Yusuf, skop asal projek sebenarnya lebih panjang iaitu sekitar 12.75 kilometer, namun telah diselaraskan kepada jajaran sebenar sepanjang kira-kira 15.5 kilometer selepas kajian terperinci dilakukan.
Ujarnya, dari segi status semasa, projek berkenaan telah memperoleh kelulusan SPA pada 8 Februari 2024, manakala pelantikan perunding termasuk kejuruteraan awam dan struktur (C&S), ukur tanah serta Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) juga telah dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, proses pengambilan tanah masih belum dimulakan dan projek ini kekal di peringkat pra-pelaksanaan sementara menunggu kelulusan pindaan skop serta peruntukan tambahan daripada pihak KKDW.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen berterusan untuk memperjuangkan pelaksanaan projek tersebut demi manfaat penduduk, khususnya dalam meningkatkan akses perhubungan dan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.
Antara projek lain yang akan dilaksanakan ialah Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) naiktaraf jalan-jalan kampung bernilai RM500,000 yang kini turut menunggu kelulusan, tambahnya. -EDISI UKAS