Pembinaan Semula SK Datuk Bandar Debak Perkukuh Kualiti Pendidikan Luar Bandar
DEBAK: Projek pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar Debak dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kualiti pendidikan melalui penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan moden.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif tersebut merupakan pelaburan penting dalam membentuk masa depan generasi muda.
Justeru beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di atas kelulusan peruntukan bagi projek berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan penyediaan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif, khususnya di Sarawak yang berdepan cabaran geografi unik.
“Persekitaran pembelajaran yang kondusif amat penting dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, seterusnya meningkatkan pencapaian akademik serta pembangunan sahsiah pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pecah tanah projek tersebut di Dewan Milinea Debak, pada Isnin.
Dato Sri Roland Sagah menegaskan bahawa kementeriannya sentiasa memberi penekanan terhadap usaha membaik pulih, menaik taraf dan membina semula sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi memperkasa pendidikan di Sarawak termasuk pelaksanaan Dual Language Programme (DLP), program sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) serta penyediaan tuisyen percuma kepada pelajar.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan sistem pendidikan di Sarawak terus diperkasa demi masa depan anak-anak kita,” tambah beliau.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam dalam ucapannya menyifatkan projek tersebut sebagai satu permulaan penting dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan selamat kepada pelajar di kawasan Debak.
Beliau menegaskan bahawa pembinaan semula sekolah bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi simbol harapan dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing, di samping meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu pula berkata, projek itu membuktikan suara masyarakat luar bandar sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa isu sekolah daif telah berlarutan sejak sekian lama di kawasan Betong dan pelaksanaan projek ini di bawah Program Sekolah Daif Sarawak merupakan langkah signifikan dalam menangani masalah tersebut.
Menurutnya, projek pembinaan semula yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17.9 juta tersebut diharap dapat disiapkan mengikut jadual bagi membolehkan pelajar menikmati kemudahan yang lebih baik dalam masa terdekat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis serta Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datu Adana Jed.-EDISI UKAS