Kampung Annah Sadir Dipilih Sebagai Kampung Angkat MADANI 2026
PADAWAN: Kampung Annah Sadir telah dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI 2026 di bawah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dengan Pusat Kelestarian Universiti (USC) bertindak sebagai penyelaras utama.
Inisiatif ini melibatkan peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Kewangan Malaysia dan memberi fokus kepada pendidikan serta kemahiran, pembangunan infrastruktur asas dan kesejahteraan komuniti.
Timbalan Pengarah (Transformasi Komuniti) USC UNIMAS, Dr Mohamad Syafiq Ahmad Nasir berkata, program tersebut akan dilaksanakan di tiga kawasan Parlimen di Sarawak, iaitu Puncak Borneo, Kota Samarahan dan Sadong Jaya.
Menurut beliau, pelaksanaan program menggunakan pendekatan Community-Based Participatory Research (CBPR) bagi memastikan setiap inisiatif benar-benar memenuhi keperluan komuniti serta memberi impak jangka panjang.
"Semua projek dijadualkan siap sepenuhnya sebelum 31 Disember 2026.
"Ia melibatkan pelbagai inisiatif seperti kursus kemahiran, naik taraf kemudahan awam, program kesihatan, digitalisasi komuniti serta pembangunan sosioekonomi yang memanfaatkan golongan belia, wanita dan orang kurang upaya (OKU),"katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Tadbir Urus bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Annah Sadir di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Padawan, di sini pada Isnin.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan, Julius Scott Sapong memberitahu, Kampung Annah Sadir berpotensi besar sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan komuniti.
Jelasnya lanjut, kampung tersebut mempunyai keunikan tersendiri termasuk kira-kira 20 lokasi air terjun, kemudahan homestay serta penganjuran pesta durian tahunan yang berpotensi menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kita melihat peluang besar untuk membangunkan produk pelancongan berasaskan komuniti dengan penglibatan aktif golongan belia sebagai pemandu pelancong serta mempromosikan produk kraf tangan tempatan,” ujarnya.
Oleh yang demikian, Julius mencadangkan agar JKKK merangka pelan pembangunan lebih terancang termasuk usaha pemulihan rumah panjang sebagai warisan budaya serta cadangan pembinaan laluan 'trail' ke Gunung Sadir.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Annah Sadir, Bobyham William, mewakili komuniti setempat menzahirkan rasa syukur dan teruja atas pemilihan berkenaan.
Katanya, penerangan yang jelas daripada pihak UNIMAS telah meningkatkan keyakinan penduduk terhadap pelaksanaan program tersebut, sekali gus membuka peluang kepada pembangunan yang lebih tersusun dan inklusif.
Dalam sesi perbincangan, wakil JKKK berpeluang mengemukakan beberapa cadangan termasuk pembinaan tandas awam di kawasan air terjun, naik taraf pusat informasi, pemasangan lampu solar serta penambahbaikan laluan ke lokasi pelancongan yang ketika ini sukar diakses.
Mereka turut mencadangkan penglibatan kepakaran Fakulti Kejuruteraan UNIMAS bagi menilai keperluan teknikal serta aspek keselamatan, selain memelihara struktur rumah panjang yang semakin uzur.
Program Kampung Angkat MADANI ini dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi Kampung Annah Sadir, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat ke arah komuniti yang lebih berdaya tahan, inklusif dan lestari.-EDISI UKAS