Bengkel Pemasaran Digital Berasaskan AI Perkasakan Usahawan Luar Bandar Asajaya
ASAJAYA: Seramai 40 usahawan muda dari Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya kini melangkah ke fasa perniagaan digital yang lebih moden menerusi penyertaan dalam Bengkel Pemasaran Digital Media Sosial Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 30 hingga 31 Mac 2026 itu merupakan inisiatif strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama FAME International Training bagi memperkukuh keupayaan usahawan luar bandar dalam ekonomi digital.
Melalui bengkel berkenaan, peserta didedahkan dengan kemahiran praktikal penggunaan teknologi AI termasuk penghasilan kandungan kreatif, pengurusan media sosial secara automatik serta aplikasi ChatGPT bagi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, khususnya di platform TikTok dan Instagram.
Bagi salah seorang peserta yang juga pengusaha homestay di Asajaya, Hamidah Osman, ilmu yang diperoleh sepanjang bengkel ini disifatkan sebagai nilai tambah penting dalam mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
“Bengkel ini banyak memberi ilmu baharu untuk membantu saya mengembangkan lagi potensi perniagaan homestay di sini.
“Ilmu dalam perniagaan atas talian ini sememangnya sangat bagus dan membuka peluang yang lebih besar kepada perniagaan saya untuk dikenali secara meluas,” katanya ketika ditemui semasa sesi tinjauan program tersebut pada Isnin.
Sementara itu, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin bersama Pegawai Tadbir MINTRED merangkap Penyelaras Bengkel, Faizul Adam turut hadir memantau kelancaran pelaksanaan program berkenaan.
Inisiatif seumpama ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan usahawan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus transformasi ekonomi digital, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.-EDISI UKAS