ASAJAYA: Komitmen memperkukuh kebersihan persekitaran luar bandar terus diperkasa apabila Pejabat Daerah Asajaya turun padang memantau kerja-kerja pembersihan serta naik taraf sistem saliran di Kampung Serpan Laut, pada Isnin.
Lawatan kerja tersebut memberi tumpuan kepada kerja-kerja mendalam dan meluaskan parit serta longkang menggunakan jengkaut bagi memastikan aliran air lebih lancar dan berfungsi dengan optimum.
Menurut Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, pemantauan berterusan penting bagi memastikan sistem saliran berada dalam keadaan baik sekali gus mengelakkan takungan air yang boleh menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes.
“Persekitaran yang bersih dan sistem saliran yang tidak tersumbat adalah kunci utama dalam memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Saya berharap agar penduduk kampung sentiasa cakna dan terus menjaga kebersihan kawasan masing-masing bagi mencegah penularan wabak denggi secara berkesan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara pihak berkuasa dan komuniti setempat amat penting dalam memastikan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk sentiasa terpelihara.-EDISI UKAS