NSJA Komited Jaga Kebajikan Ahli, Sumbang Kepada Masyarakat
MIRI: Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) terus komited memperkukuh peranannya dalam menjaga kebajikan ahli serta menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai program berimpak.
Presidennya, Chai Chon Chin berkata, komitmen tersebut dizahirkan menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang tahun lalu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli, malah turut melibatkan keluarga dan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) NSJA yang berlangsung di Imperial Hotel, Miri pada Ahad yang dihadiri lebih 30 ahli.
Menurut beliau, kehadiran ahli pada mesyuarat berkenaan mencerminkan sokongan berterusan terhadap persatuan, sekali gus menjadi pemangkin kepada NSJA untuk terus bergerak maju dan kekal relevan dalam landskap kewartawanan yang semakin mencabar.
“Sepanjang tahun lalu, NSJA telah menganjurkan pelbagai program merangkumi aktiviti dalaman, kekeluargaan dan kemasyarakatan sebagai usaha menyokong keperluan serta menjaga kebajikan ahli secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kejayaan program kemasyarakatan seperti kempen derma darah yang dilaksanakan secara konsisten setiap tahun bagi membantu Hospital Miri memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.
Selain itu, program pembersihan pantai yang dianjurkan turut mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus mencerminkan keprihatinan ahli terhadap penjagaan alam sekitar walaupun sibuk dengan tugas harian sebagai wartawan.
Chai berkata, semua inisiatif tersebut akan diteruskan dan dipertingkatkan pada tahun ini, bukan sahaja untuk menyokong usaha menjadikan Miri sebuah bandar raya yang bersih dan lestari, malah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar turut sama menyertai aktiviti kemasyarakatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa NSJA telah mencapai satu pencapaian penting apabila berjaya didaftarkan sebagai salah satu persatuan di bawah Malaysian Media Council (MMC), yang dimuktamadkan semasa Mesyuarat Agung Pertama badan itu di Kuala Lumpur pada November tahun lalu.
Dalam pada itu, beberapa usul turut dibentangkan pada mesyuarat berkenaan untuk pertimbangan ahli, dengan matlamat memperkukuh hala tuju persatuan serta menambah baik pengurusan agar kekal relevan dalam menghadapi cabaran industri media masa kini.-EDISI UKAS