Majlis Aidilfitri BDA platform erat perpaduan masyarakat Bintulu
BINTULU: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) terus menjadi platform dalam mengeratkan perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum di kawasan ini.
Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Asghar Khan berkata, majlis berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya simbol kepada semangat muhibah dan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan komuniti.
“Majlis ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat Bintulu yang kita banggakan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama Premier Sarawak diwakili oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh di Dewan Suarah Bintulu pada Isnin.
Menurutnya, penganjuran majlis itu yang kini memasuki tahun keempat menunjukkan komitmen berterusan semua pihak dalam memupuk hubungan erat dalam kalangan masyarakat.
Katanya, konsep penganjuran yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu lokasi mencerminkan pendekatan inklusif yang menggalakkan penyertaan bersama.
“Di sinilah semua pihak seperti kerajaan, industri, persatuan, komuniti dan masyarakat bergabung tenaga meraikan Aidilfitri bersama,” katanya.
Beliau berkata, BDA berperanan sebagai pemudah cara, namun kejayaan penganjuran majlis tersebut adalah hasil semangat kolaborasi dan kerjasama semua pihak.
Dalam pada itu, beliau berkata, objektif utama majlis berkenaan adalah untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan, mengeratkan hubungan antara kerajaan, industri dan masyarakat serta mewujudkan suasana inklusif yang mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk di Bintulu.
Sehubungan itu, Dato Haidar berharap semangat kerjasama tersebut akan terus diperkasakan bagi memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat dapat dikekalkan pada masa akan datang.
Majlis itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, industri, persatuan, wakil kampung dan komuniti setempat.-EDISI UKAS