SIMANGGANG: Golongan belia Sarawak diseru memainkan peranan lebih aktif dalam membantu merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan memanfaatkan peluang dalam bidang teknologi digital, inovasi hijau serta jaringan ekonomi global.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, para belia juga perlu memperkukuh ikatan sosial melalui kolaborasi komuniti, perkongsian ilmu, dan solidariti budaya.
"Gabungan antara visi ekonomi dan kekuatan sosial ini telah membuka ruang buat mereka untuk melebarkan empayar perdagangan yang bukan sahaja berorientasikan keuntungan tetapi juga berteraskan nilai kemanusiaan dan kelestarian.
"Dengan kata lain, belia pada hari ini bukan lagi sekadar pengguna dalam ekonomi tetapi menjadi pencipta ekosistem yang menghubungkan perdagangan dengan identiti sosial dan budaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ringkas pada program gotong-royong membersihkan pondok perhentian Kubur Cina Bukit Temudok anjuran Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang dengan kerjasama Pemuda Clan Cheng, Che Chuan Khor, Soon Heng, Teo Chew dan Kelab Berbasikal Benak, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simangang itu menambah, belia Sarawak juga dilihat sebagai pemacu utama ekonomi masa depan melalui penglibatan mereka dalam merealisasikan PCDS 2030 yang menjadi kerangka pembangunan negeri dengan belia amat berperanan penting sebagai penggerak utama dalam memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Jelasnya, belia haruslah memanfaatkan peluang dalam sektor e-dagang, inovasi hijau dan ikatan sosial demi membentuk wajah ekonomi baharu Sarawak melalui PCDS 2030 dan mencipta ekosistem perdagangan yang berdaya saing serta berteraskan nilai sosial untuk negeri ini
Terdahulu, gotong-royong ini telah dianjur bersempena dengan perayaan Ching Ming (Tomb Festival) masyarakat Cina melalui aktiviti membersihkan kubur nenek moyang, memberi penghormatan dengan makanan, bunga dan membakar kertas sembahyang sebagai simbol persembahan. -EDISI UKAS