TERAJU Perkukuh Kerjasama Strategik Dengan Sarawak
KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkasa pembangunan usahawan dan syarikat Bumiputera di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif pembiayaan serta program sokongan yang lebih menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, usaha itu dizahirkan dalam kunjungan hormatnya kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bertujuan membincangkan peranan lebih erat TERAJU dengan kerajaan negeri.
Katanya, perbincangan tersebut tertumpu kepada usaha memperluas penglibatan TERAJU sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab mengskalakan usahawan serta ekosistem ekonomi Bumiputera, khususnya dalam membantu membangunkan lebih ramai usahawan dan syarikat tempatan di Sarawak.
"Antara aspek yang telah dibincangkan termasuklah pembiayaan yang disediakan oleh TERAJU melalui kolaborasi dengan institusi-institusi kewangan, selain pembiayaan antara rakan setara dan pengendali pasaran yang diiktiraf bagi tujuan modal kerja patuh syariah dan pembiayaan projek," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat tersebut di Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, pada Isnin.
Selain itu, Junady memberitahu, TERAJU juga dijadual melancarkan Bumiputera Sarawak dan Sabah Scale-Up Fund pada bulan hadapan, yang dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan dan pengembangan usahawan Bumiputera di kedua-dua wilayah tersebut.
Jelasnya, langkah ini dilihat selari dengan usaha berterusan TERAJU dan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi berimpak tinggi, selain memperluas akses kepada pembiayaan strategik yang lebih inklusif dan mampan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi