61 Sekolah Di Samarahan Diperkasa Sebagai Ejen Kelestarian
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 61 buah sekolah di daerah Samarahan digerakkan sebagai ejen perubahan dalam usaha memperkasa kelestarian alam sekitar menerusi pelaksanaan Kempen 3R (Reduce, Reuse, Recycle) Peringkat Sekolah Rendah dan Menengah 2026.
Inisiatif oleh Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) itu menjadi platform strategik untuk membudayakan amalan pengurusan sisa secara mampan dalam kalangan pelajar, sekali gus menyemai kesedaran alam sekitar yang berterusan hingga ke peringkat komuniti.
Pengerusi MPKS, Kr Abang Ismawi Abang Ali berkata kempen tersebut bukan sekadar program berbentuk pertandingan, sebaliknya merupakan usaha membentuk nilai dan kesedaran dalam kalangan pelajar agar menjadi ejen perubahan yang membawa mesej kelestarian ke dalam komuniti masing-masing.
Jelasnya, program yang diperkenalkan sejak tahun 2021 itu selaras dengan aspirasi pembangunan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang menekankan keseimbangan antara kelestarian alam sekitar, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Kempen yang berlangsung dari 1 April hingga 30 September 2026 itu menyasarkan peningkatan penyertaan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan sekolah, dengan fokus kepada pengumpulan bahan seperti kertas, plastik, aluminium, e-waste serta minyak masak terpakai.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Shbini Saini berkata pelaksanaan kempen berkenaan selari dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang menitikberatkan pendidikan berasaskan nilai serta kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, amalan 3R perlu dijadikan budaya harian di sekolah agar pelajar lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan tidak hanya dilaksanakan secara bermusim.
Beliau turut memaklumkan bahawa kaedah penilaian pertandingan akan dilaksanakan secara lebih adil melalui pendekatan nisbah, iaitu jumlah berat bahan kitar semula dibahagikan dengan bilangan pelajar bagi memastikan keseimbangan antara sekolah besar dan kecil.
Dalam pada itu, MPKS memberi jaminan semua vendor berdaftar akan menawarkan harga belian yang adil bagi memastikan motivasi pelajar kekal tinggi di samping menggalakkan penglibatan berterusan pihak sekolah.
Kempen tersebut turut melibatkan kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta pihak vendor.
Sebagai galakan, pelbagai insentif termasuk hadiah wang tunai ditawarkan kepada pemenang di peringkat MPKS sebelum layak ke pertandingan peringkat Zon Selatan Sarawak.
Secara keseluruhannya, Kempen 3R MPKS 2026 dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti lestari serta memperkukuh kolaborasi antara pihak berkuasa tempatan dan institusi pendidikan dalam melahirkan generasi yang lebih peka terhadap isu alam sekitar.-EDISI UKAS