Datuk Rubiah Perketat Pemantauan, Pastikan Projek Di Samarahan Penuhi Keperluan Rakyat
KOTA SAMARAHAN: Usaha memperkukuh pemantauan pelaksanaan projek pembangunan di Parlimen Kota Samarahan terus dipergiat bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan semasa rakyat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pendekatan proaktif itu dilaksanakan menerusi sesi libat urus bersama pihak teknikal bagi mendapatkan gambaran menyeluruh status projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, perbincangan tersebut meliputi projek yang telah siap, sedang dilaksanakan serta perancangan akan datang, di samping mengenal pasti isu-isu berbangkit yang memerlukan tindakan segera.
Tambah beliau, fokus turut diberikan kepada keperluan infrastruktur asas yang menjadi keutamaan rakyat seperti jalan raya, sistem perparitan serta kemudahan sokongan lain yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama erat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan dalam memastikan setiap projek dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan berkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan setiap projek pembangunan di kawasan Samarahan berjalan mengikut perancangan serta memberi impak maksimum kepada penduduk setempat.
Pendekatan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan luar bandar secara lebih tersusun dan berfokus, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan Kota Samarahan.-EDISI UKAS