Perang Timur Tengah Dijangka Tidak Jejas Lapan Projek Jambatan Sarawak
KUCHING: Situasi semasa di Timur Tengah dijangka tidak akan menjejaskan jadual pelaksanaan lapan projek jambatan utama di Sarawak yang dirancang untuk disiapkan tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak kekal yakin di mana semua projek berkenaan akan terus berjalan lancar tanpa gangguan besar.
"Bagi lapan jambatan yang kita harap dapat disiapkan atau yang kita rancang untuk disiapkan pada tahun ini, kami tidak risau mengenai perkara tersebut.
"Mungkin akan ada sedikit masalah, tetapi ia tidak akan sampai ke tahap yang boleh mengganggu pelaksanaan projek.
"Kami yakin semuanya akan berjalan dengan baik tetapi kami akan terus memantau keadaan semasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sarawak Infrastructure Engagement Programme 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Selain itu, Datuk Amar Douglas Uggah menambah, pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) 2 kini juga dalam pemantauan dari segi program pembelian dan bahan binaan termasuk cara mendapatkan bahan-bahan tersebut dan sebagainya.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu memberitahu, langkah tersebut penting bagi memastikan perancangan pihak pelaksana mengambil kira perkembangan semasa, termasuk sebarang implikasi yang mungkin timbul susulan ketidaktentuan global.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak bersama dengan Kerajaan Persekutuan kini sedang memantau harga barangan binaan dalam usaha untuk menghadapi ketidaktentuan pada masa kini.
Jelasnya, mereka kini sedang mencari jalan penyelesaian terbaik untuk masalah ini namun mengesyorkan pembinaan lapan jambatan masih lagi dalam keadaan terkawal.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, barisan Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Idris Buang, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr Cassidy Morris, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS