Industri Kopi dan Restoran Sarikei Pemangkin Ekonomi Setempat
SARIKEI: Sektor ekonomi tempatan khususnya industri makanan dan minuman di Sarikei terus diperkukuh menerusi sokongan berterusan kerajaan dalam memastikan kelangsungan peniaga menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, industri kopi dan restoran memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi setempat serta menjadi nadi kepada perniagaan kecil dan sederhana.
Menurutnya, industri makanan dan minuman bukan sahaja memenuhi keperluan harian rakyat, malah menjadi platform penting dalam pertukaran budaya serta mencerminkan identiti tempatan Sarikei.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-68 Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Sarikei yang menghimpunkan para pengusaha serta ahli persatuan.
Mengulas cabaran semasa, beliau menegaskan pengusaha perlu lebih progresif dengan mengadaptasi teknologi, memperkukuh jenama serta meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keselamatan makanan.
“Industri kopi dan restoran perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman. Kita tidak boleh kekal dengan cara lama, sebaliknya perlu berani berubah dan meningkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Sarikei serta RM10,000 kepada Persekutuan Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Sarawak sebagai sokongan kepada pembangunan industri berkenaan.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu memperkukuh persatuan serta meningkatkan keupayaan ahli dalam perkhidmatan mereka,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menyokong pengusaha tempatan agar kekal berdaya saing, selain menyeru kerjasama semua pihak tanpa mengira kaum bagi memajukan ekonomi Sarikei dan Meradong.-EDISI UKAS