Ziarah Aidilfitri Eratkan Silaturahim Kepimpinan Negeri Sarawak
KUCHING: Ziarah Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi diteruskan dengan mengunjungi kediaman Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, di Jalan Astana, Petra Jaya, pada Selasa.
Kunjungan tersebut mencerminkan keakraban hubungan antara institusi negeri dan barisan kabinet Sarawak, selaras dengan semangat perpaduan yang menjadi teras keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
Turut mengiringi kunjungan tersebut ialah anakanda Tun Pehin Sri, Sharifah Fariah dan Sharifah Nong-Jasima, serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam Sarawak), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi selaku Menteri Pengiring bersama isteri.
Suasana kunjungan berlangsung dalam keadaan santai dan penuh kemesraan dengan para tetamu berpeluang beramah mesra sambil menikmati pelbagai juadah Aidilfitri yang disediakan oleh tuan rumah.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut menzahirkan penghargaan atas jemputan tersebut serta menekankan kepentingan sambutan Aidilfitri sebagai platform memperkukuh ukhuwah dan hubungan baik antara pemimpin serta rakyat.-EDISI UKAS