Projek Mesra Rakyat Siap Ikut Jadual, Tingkat Kemudahan Penduduk
SARIKEI: Pelaksanaan beberapa projek di bawah Program Projek Mesra Rakyat (PMR) di kawasan Parlimen Sarikei siap sepenuhnya mengikut jadual, sekali gus mempertingkat kemudahan asas dan jaringan perhubungan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan asas, khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya, pelaksanaan projek tersebut bertujuan memastikan laluan perhubungan berada dalam keadaan lebih baik, selamat dan mampu menyokong perkembangan sosioekonomi penduduk.
“Pelaksanaan projek ini mencerminkan pendekatan berfokus kerajaan dalam memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara efektif demi kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Tambah beliau, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada perancangan berterusan bagi memperkukuh infrastruktur luar bandar terutama melibatkan laluan yang sering digunakan penduduk bagi urusan harian.
Antara lokasi yang terlibat ialah Jalan Yek Nain Chie, Jalan Ting Heng Ing serta Jalan Yii Ung Ngie di KM11, Jalan Kelupu, Bintangor.
Terdahulu, diadakan sesi pengesahan siap kerja projek tersebut yang diwakili oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat, diketuai oleh Wong Soon Mee bersama pegawai Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak.
Dato Sri Huang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi pelaksana dan kontraktor atas kerjasama memastikan projek disiapkan mengikut jadual, sekali gus memberi impak positif terhadap pembangunan serta kesejahteraan penduduk setempat.-EDISI UKAS