14 Pelajar SMK Three Rivers Raih Semua A dalam SPM 2025, Cipta Rekod Terbaik Sekolah
MUKAH: Seramai 14 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh keputusan semua A bagi setiap subjek yang diambil.
Kejayaan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah mencerminkan tahap komitmen dan disiplin tinggi dalam kalangan pelajar dalam menghadapi peperiksaan utama negara itu.
Pegawai Pendidikan Daerah Mukah, Awang Yusri Awang Adeni berkata, pencapaian tersebut turut melakar sejarah tersendiri buat SMK Three Rivers, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi akademik sekolah berkenaan.
“Seramai 14 calon berjaya memperoleh semua A, sekali gus menjadi antara pencapaian terbaik sekolah ini. Ia membuktikan keupayaan pelajar untuk bersaing dan mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengagihan Slip Keputusan SPM 2025 dan Majlis Kesyukuran yang berlangsung di Dewan Tom Bazeley, SMK Three Rivers, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, sekolah itu turut mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 4.09, iaitu terbaik sejak 2013, selain peningkatan peratus kelulusan kepada 98.64 peratus berbanding 95.88 peratus pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha berterusan semua pihak termasuk pelajar, guru dan ibu bapa.
“Pencapaian ini adalah hasil kerja keras pelajar serta sokongan padu ibu bapa dan komitmen tinggi guru-guru. Diharapkan ia menjadi pemangkin kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan lebih cemerlang,” katanya.
Turut hadir, Eksekutif Kanan Sarawak Energy Resources Mukah, Abdul Rani Kedri dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Three Rivers, Mohamad Nazir Besiri.- EDISI UKAS