KUCHING: Kunjungan Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke kediaman Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah pada Selasa bukan sekadar ziarah, malah turut membawa sinar kegembiraan kepada sebuah keluarga yang memerlukan.
Ketibaan TYT Sarawak dan isteri sekitar jam 11 pagi disambut mesra oleh Dato Sri Fatimah bersama suami, Datu Dr Adi Badiozaman Tuah serta ahli keluarga dalam suasana penuh harmoni dan kekeluargaan.
Dalam kunjungan tersebut, Toh Puan Fauziah menyampaikan bantuan peralatan kamera bernilai RM5,000 kepada seorang ibu tunggal, Nor Karmira Benny Karmilan menerusi Program Low Income Family Empowerment (LIFE) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK).
Sumbangan itu diharap dapat membuka peluang baharu kepada Nor Karmira untuk menjana pendapatan, sekali gus memperkukuh kesejahteraan keluarganya.
Turut mencuri perhatian, anak-anak Nor Karmira menerima duit raya daripada Toh Puan Fauziah sebagai tanda keprihatinan serta berkongsi kegembiraan sempena Aidilfitri.
Sebagai tanda penghargaan, Dato Sri Fatimah bersama suami turut menyampaikan cenderahati kepada TYT Sarawak dan Toh Puan Fauziah.
Kunjungan berkenaan diakhiri dengan sesi bergambar bersama dalam suasana mesra, mencerminkan semangat perpaduan dan nilai kemanusiaan yang terus subur dalam sambutan Aidilfitri.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta isteri dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad. -EDISI UKAS