Kuching Himpun Atlet Dunia, Sukan Ekstrem Jadi Tarikan Utama April Ini
KUCHING: Kuching terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab sukan ekstrem serantau menerusi penganjuran DBKU International X-Games 2026 yang bakal berlangsung di Kuching Waterfront dari 8 hingga 12 April ini.
Acara berprestij anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Canard Group, dan turut berkolaborasi bersama Canroll Pro Urban Sports Festival.
Mengangkat tema “Unleash the Action”, edisi kali ini tampil dengan skala lebih besar dan berimpak tinggi susulan kejayaan penganjuran terdahulu, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan dalam memacu pembangunan sukan ekstrem di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, minat terhadap sukan ekstrem kini menunjukkan peningkatan ketara di peringkat global termasuk di Sarawak, melibatkan disiplin seperti BMX, skateboarding dan rollerblading.
“Trend ini jelas berkembang pesat. Penganjuran kali ini bukan sahaja melibatkan acara di darat, tetapi turut diperluaskan ke sukan air seperti perlumbaan jet ski, sekali gus meningkatkan lagi daya tarikan festival ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini pada Selasa.
Menurut beliau, lebih 200 atlet sukan ekstrem dari dalam dan luar negara dijangka mengambil bahagian, menjadikan Kuching sebagai pentas utama aksi berintensiti tinggi yang sarat dengan elemen keberanian, kreativiti dan kemahiran teknikal.
Antara negara yang dijangka menyertai termasuk Perancis, Afrika Selatan, Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand.
Pertandingan melibatkan kategori Junior (bawah 15 tahun) dan Terbuka dengan pelbagai acara seperti aggressive rollerblading, BMX flatland, BMX stunt, skateboarding, sukan air (jet ski), street basketball serta pickleball yang turut diperkenalkan bagi menarik penyertaan lebih meluas.
Dalam masa sama, Dato Sri Abdul Karim menegaskan penganjuran ini menjadi platform penting kepada atlet tempatan untuk mengetengahkan bakat di peringkat antarabangsa serta membuka ruang pertukaran pengalaman bersama peserta luar negara.
“Program ini bukan sahaja menyediakan pentas kompetitif kepada atlet, malah menjadi medium strategik untuk mempromosi Sarawak sebagai destinasi utama sukan ekstrem, di samping memperkasa golongan belia agar lebih aktif dalam aktiviti sihat dan berdaya saing,” ujarnya.
Selain pertandingan, orang ramai khususnya golongan belia turut berpeluang menyertai bengkel skateboarding dan rollerblading yang dianjurkan bagi memperkenalkan kemahiran asas serta aspek keselamatan dalam sukan berkenaan.
Ujarnya, DBKU juga optimis penganjuran acara ini mampu menyemarakkan budaya kesukanan, menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh imej Kuching sebagai bandaraya progresif dan mesra belia di persada antarabangsa.- EDISI UKAS