Projek MyKhas bantu baik pulih rumah panjang di Selangau
SELANGAU: Pelbagai bentuk bantuan terus disalurkan kepada penduduk di Parlimen Selangau menerusi pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (MyKhas), khususnya bagi tujuan baik pulih rumah panjang di kawasan luar bandar.
Terbaharu, kerja-kerja pemasangan atap di Rumah Rose Nana, Skim Sekuau telah berjaya disiapkan sepenuhnya, sekali gus memberi manfaat kepada 20 pintu penduduk di rumah panjang berkenaan.
Projek tersebut dilaksanakan melalui peruntukan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta sebagai usaha berterusan dalam membantu rakyat, khususnya mereka yang menetap di kawasan pedalaman agar dapat menikmati persekitaran tempat tinggal yang lebih selamat dan kondusif.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi perhatian, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan luar bandar secara inklusif dan mampan.
Penduduk yang menerima manfaat turut menzahirkan penghargaan atas bantuan yang disalurkan, yang disifatkan sebagai amat bermakna dalam meringankan beban serta meningkatkan kualiti kehidupan mereka.-EDISI UKAS