Kerajaan Warta Kampung Pasir Lutong Sebagai Rizab Kampung
MIRI: Penduduk Kampung Pasir di Lutong kini boleh menarik nafas lega apabila isu tanah yang berlarutan lebih empat dekad akhirnya menemui penyelesaian selepas kerajaan negeri meluluskan pelan penempatan semula secara in-situ.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata keputusan bersejarah itu bukan sahaja diberikan hak pemilikan tanah secara sah.
“Pelan berkenaan telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada 13 Mac lepas dan kini memasuki fasa pelaksanaan termasuk proses pewartaan kawasan sebagai tanah rizab kampung kerajaan.
“Ini merupakan satu penyelesaian menyeluruh terhadap ketidaktentuan status tanah yang telah lama dihadapi oleh penduduk Kampung Pasir,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat di Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Miri pada Isnin.
Berdasarkan rekod, sebanyak 304 isi rumah terlibat, dengan 197 daripadanya berada dalam kawasan perancangan dan akan kekal, manakala 107 lagi yang berada di luar kawasan serta di tebing sungai akan dibantu untuk berpindah secara berperingkat ke kawasan yang lebih terancang.
Katanya, JTS Miri telah memuktamadkan data berkaitan, langkah seterusnya adalah meneruskan proses pewartaan bagi menetapkan kawasan tersebut sebagai tanah rizab kampung kerajaan, sekali gus melindungi hak penduduk.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, penduduk telah menetap di kawasan itu sejak tahun 1980-an, malah ada yang lebih awal lagi berikutan perkembangan industri minyak dan gas di Lutong.
“Komuniti ini merupakan komuniti yang telah lama terbentuk, majoritinya terdiri daripada etnik Iban dengan kira-kira 274 isi rumah.
“Disebabkan ketiadaan status tanah yang sah selama ini, pembangunan infrastruktur adalah terhad, dengan bekalan air dan elektrik sering dikongsi, menyebabkan keadaan hidup yang agak mencabar.
“Dengan kelulusan ini, kerajaan akan dapat melaksanakan pembangunan secara sistematik termasuk penyediaan bekalan air dan elektrik yang lebih sempurna,” katanya.
Dalam pada itu, Pejabat Daerah Miri akan menjalankan proses pengesahan bagi memastikan pengagihan tanah dilakukan secara adil dan teratur, manakala JTS Miri akan mengadakan sesi dialog bersama penduduk dalam masa terdekat bagi menerangkan perincian serta mendapatkan maklum balas.
Terdahulu, Datuk Sebastian Ting meluangkan masa melawat 10 keluarga yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Pasir pada 19 Mac lalu yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Miri di sini.
Menurut beliau, mereka akan diberi keutamaan bantuan penempatan semula dan layak menerima bantuan pembinaan semula rumah sehingga RM85,000 bagi setiap isi rumah.
Semasa lawatan tersebut, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Miri Anthony Aboi dan Residen Bahagian Miri Galong Luang turut memberikan taklimat ringkas mengenai pelan penempatan secara in-situ kepada mangsa.-EDISI UKAS