Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal dan Klinik Navigasi Dilancar di Hospital Miri
MIRI: Usaha memperkukuh kesedaran serta pengurusan kanser kolorektal terus dipergiatkan menerusi Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal serta pelancaran Colorectal Cancer Navigation Clinic di Hospital Miri pada Selasa.
Majlis yang berlangsung di Unit Endoskopi, Blok A itu disempurnakan oleh Kaunselor Sean Huang Hong Siong yang mewakili Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Dalam teks ucapan Adam Yii yang dibacakan wakilnya, beliau menegaskan bahawa bulan Mac merupakan Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal Antarabangsa yang disambut melalui kempen reben biru, namun usaha meningkatkan kesedaran perlu dilaksanakan sepanjang tahun.
Menurut beliau, kanser kolorektal merupakan kanser kedua paling kerap berlaku secara keseluruhan. Statistik di Bahagian Miri menunjukkan antara 10 hingga 12 kes direkodkan bagi setiap 100,000 penduduk setiap tahun, manakala Hospital Miri mencatatkan antara 200 hingga 300 kes baharu secara konsisten setiap tahun.
Tambah beliau, data unit kolorektal hospital menunjukkan hanya lapan peratus pesakit dikesan pada peringkat awal, manakala 49 peratus berada pada tahap lanjut setempat dan 43 peratus lagi telah mencapai tahap metastatik.
Keadaan ini jelas menggambarkan kepentingan pengesanan awal kerana pesakit yang didiagnosis pada peringkat awal mempunyai peluang rawatan serta kadar kelangsungan hidup yang lebih baik.
Dalam pada itu, Hospital Miri kini telah dinaik taraf sebagai hospital tertiari yang berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi Zon Utara Sarawak.
Seiring dengan peningkatan tersebut, perkhidmatan subkepakaran pembedahan kolorektal telah diperkenalkan sejak tahun 2025.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Colorectal Cancer Navigation Clinic yang berperanan sebagai pusat sehenti dalam membimbing dan menyokong pesakit sepanjang perjalanan rawatan mereka.
Klinik ini mengintegrasikan perkhidmatan endoskopi, rawatan, pemantauan, penjagaan stoma serta sokongan rehabilitasi bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang menyeluruh.
Pendekatan ini menekankan tiga elemen utama iaitu meningkatkan kesedaran masyarakat, menggalakkan pengesanan awal melalui saringan sukarela serta menyediakan sistem sokongan rawatan secara holistik.
Selaras dengan tema “Early Detection Equals Better Protection” dan “No One Fights Alone”, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Hospital Miri dalam memastikan setiap pesakit mendapat akses kepada rawatan berkualiti serta sokongan menyeluruh.
Majlis berkenaan turut menandakan pelancaran rasmi Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal Hospital Miri 2026, sekali gus memperkukuh usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan saringan awal sebagai langkah utama menyelamatkan nyawa.
Turut hadir Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu, Ketua Jabatan Pembedahan Am, Dr. Aminnur Hafiz Maliki, Pakar Perunding Pembedahan Kolorektal, Dr. Kenneth Voon serta Pengerusi Program Kolorektal Hospital Miri, Matron Collin Utan.-EDISI UKAS