SPM 2025: Sarawak Catat Prestasi Terbaik Dengan GPN 4.79
KUCHING: Sarawak mencatatkan prestasi terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.79 dengan peningkatan sebanyak 0.05 berbanding 4.84 pada tahun sebelumnya, sekali gus mencatatkan prestasi terbaik Sarawak sejak tahun 2013.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, calon dari kawasan bandar dan luar bandar masing-masing menunjukkan peningkatan prestasi dengan calon bandar mencatatkan peningkatan prestasi dengan skor 4.44 berbanding 4.46 dalam SPM 2024.
Manakala ujarnya, calon luar bandar juga menunjukkan kemajuan yang ketara dengan peningkatan sebanyak 0.08, daripada 5.11 dalam SPM 2024 kepada 5.03 dalam SPM 2025.
"Ini merupakan petunjuk positif bahawa usaha berterusan kita untuk mengurangkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar sedang membuahkan hasil yang bermakna dan kita berharap keputusan yang lebih baik dapat dicapai pada masa hadapan.
"Tidak dapat dinafikan, faktor lokasi merupakan satu isu utama, namun kita yakin bahawa jurang polarisasi ini akan semakin berkurangan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media Pengumuman Keputusan SPM 2025 di sini, pada Selasa.
Tambahnya, sebanyak 27 sekolah mencatatkan kadar lulus 100 peratus, dengan 19 sekolah adalah dari kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland memberitahu, seramai 853 pelajar daripada keseluruhan 34,166 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menduduki peperiksaan berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.
Sementara itu, jumlah calon yang layak menerima sijil SPM ialah seramai 31,506 orang, bersamaan 93.99 peratus, menunjukkan penurunan kecil sebanyak 0.12 peratus berbanding SPM 2024.
"Walaupun peratusan tersebut menurun, jumlah pelajar yang memperoleh sijil SPM sebenarnya adalah lebih tinggi, dengan peningkatan sebanyak 1,165 orang berbanding tahun sebelumnya.
"Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi Sarawak dan kita amat bersyukur dengan keputusan ini," ujarnya.
Dari segi prestasi mata pelajaran jelasnya, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains yang merupakan antara subjek teras dalam SPM telah menunjukkan peningkatan skor antara 0.01 hingga 0.25.
Tambahnya lagi, subjek elektif STEM tulen, tiga mata pelajaran iaitu Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan turut menunjukkan sedikit peningkatan, dengan Matematik Tambahan mencatatkan peningkatan tertinggi.
Dato Sri Roland turut menzahirkan perasaan bangga terhadap calon-calon berkeperluan pendidikan khas kerana mencatat peratusan lebih tinggi berjaya memperoleh sijil SPM pada tahun ini iaitu 72.73 peratus.
Lebih membanggakan, seramai empat calon berkeperluan khas berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang didaftarkan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Hisyam Arif