MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri meningkatkan rondaan serta pemantauan aktiviti pembakaran terbuka di kawasan berisiko sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko kebakaran susulan cuaca kering.
Dalam usaha mengekang kejadian jerebu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Miri turut disaran supaya buat sementara waktu tidak mengeluarkan permit pembakaran terbuka.
Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, pendekatan itu penting memandangkan aktiviti pembakaran dijangka meningkat ketika musim kemarau.
“Justeru, saya menasihatkan NREB dan JAS buat sementara waktu tidak mengeluarkan permit bagi aktiviti pembakaran terbuka,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JPBB Miri berkaitan musim kemarau, cuaca panas dan bencana kebakaran tanah gambut di Pejabat Residen Bahagian Miri, pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi JPBB Miri menegaskan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa akan terus diperkukuh melalui rondaan, pemantauan fizikal serta tindakan penguatkuasaan di lapangan.
Dalam masa sama, Pegawai Daerah (DO) dan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) diminta memainkan peranan mengingatkan ketua masyarakat agar memantau aktiviti pembakaran terbuka di kawasan kampung, khususnya bagi tujuan pertanian.
“Penduduk yang mahu membuka kebun atau ladang perlu mengawal aktiviti pembakaran dan tidak membiarkannya sehingga mencetuskan kebakaran serius,” jelasnya.
Mesyuarat tersebut diadakan sebagai platform menyelaras tindakan serta menilai tahap kesiapsiagaan agensi terlibat dalam menghadapi kemungkinan bencana kebakaran berikutan keadaan cuaca kering yang melanda Miri ketika ini.
Terdahulu, Galong menerima taklimat daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), NREB, JAS, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Bandaraya Miri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram, Hospital Miri, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Water Sdn Bhd (SWSB), Jabatan Hutan Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) serta RELA.
Dalam sesi taklimat, wakil NREB memaklumkan sebanyak 14 titik panas direkodkan di Sarawak bagi tempoh 1 Januari hingga 29 Mac tahun ini, dengan empat daripadanya dikesan di Miri sepanjang Mac melibatkan kawasan Subis, Miri dan Marudi.
Sementara itu, MetMalaysia menjangkakan trend pengurangan hujan berterusan sehingga Ogos, sekali gus meningkatkan risiko cuaca panas serta kebakaran hutan dan tanah gambut yang boleh menyumbang kepada jerebu sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal.
Mengulas lanjut, Galong berharap maklumat yang dikongsi dapat memperkukuh komunikasi antara agensi selain memastikan penyaluran bantuan berjalan lancar tanpa sebarang kekeliruan.
Beliau turut menegaskan bahawa agensi yang kekurangan aset boleh mendapatkan bantuan daripada agensi lain termasuk Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) bagi penggunaan dron dalam pemantauan kawasan berisiko.-EDISI UKAS