Limbang Terus Maju, Infrastruktur dan Program Komuniti Pacu Menyeluruh
LIMBANG: Usaha berterusan memperkukuh pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan pelbagai program komuniti terus menjadi pemangkin kepada kemajuan sosioekonomi di daerah Limbang, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pendekatan pembangunan yang merangkumi kemudahan asas, projek peringkat kampung serta penganjuran aktiviti berskala daerah dilihat berjaya merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat selain mengukuhkan kesejahteraan komuniti.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menjelaskan, Limbang tidak pernah tercicir daripada arus pembangunan apabila pelbagai projek dan program terus dilaksanakan secara konsisten.
“Di Limbang, alhamdulillah banyak program dan aktiviti dijalankan dan kita tidak ketinggalan. Pelbagai projek termasuk projek kampung dan kemudahan asas telah kita laksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Berawan 2026 di Dewan Kampung Berawan, pada Isnin.
Beliau berkata, penganjuran Program Sarawakku Sayang pada 10 hingga 12 April serta Pesta Limbang 2026 yang dijangka berlangsung pada Julai nanti akan terus menjadi platform penting dalam menarik kehadiran pengunjung luar di samping menggalakkan penyertaan aktif komuniti tempatan.
Dalam masa sama, pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar seperti Lebuhraya Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang dijangka siap pada 2030 serta projek Northern Coastal Highway dijangka menjadi pemacu utama transformasi ekonomi di daerah berkenaan.
“Dengan adanya SSLR nanti, ia boleh dikatakan sebagai ‘game changer’ yang akan mengubah corak ekonomi di kawasan ini. Satu lagi ialah Northern Coastal Highway yang juga akan memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi kita di daerah Limbang,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak, pelbagai inisiatif dan bantuan terus disalurkan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara serta pembangunan negeri dilaksanakan secara inklusif.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menjamin kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Perpaduan Bahagian Suriani Yussop, Penghulu Yusop Dollah serta Ketua Kampung Berawan Kalong Tembol.-EDISI UKAS