Sarawak Berpotensi Besar Bangunkan Ekonomi Altitud Rendah
MIRI: Sarawak mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai peneraju pembangunan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) di Malaysia, sejajar dengan kelebihan geografi yang luas serta keperluan mendesak meningkatkan akses perkhidmatan di kawasan pedalaman.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendekatan ini dilihat mampu memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya di kawasan luar bandar yang masih bergantung kepada pesawat konvensional di STOLport dan sering berdepan kekangan cuaca.
Katanya, keadaan tersebut meletakkan Sarawak dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan teknologi altitud rendah sebagai pelengkap kepada sistem sedia ada.
“Faktor ini meletakkan Sarawak dalam kedudukan unik untuk memanfaatkan peluang baharu dalam sektor tersebut, terutama bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan di kawasan pedalaman.
“Aplikasi altitud rendah berpotensi besar untuk bertindak sebagai pelengkap, khususnya dalam operasi kritikal termasuk penghantaran ubat-ubatan ke klinik luar bandar dan pemantauan tanaman secara tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Keselamatan Penerbangan – Memajukan Ekonomi Altitud Rendah (LAE): Pertumbuhan yang Selamat, Pintar dan Mampan 2026 di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, teknologi tersebut turut berperanan dalam pemeriksaan infrastruktur seperti jambatan, talian elektrik, jalan raya dan aset utiliti, selain pemantauan hutan, biodiversiti serta respons kecemasan di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa perkembangan pesat LAE di peringkat global menuntut Sarawak untuk bertindak proaktif agar tidak ketinggalan.
“Ruang udara altitud rendah kini menjadi domain ekonomi baharu di peringkat global. Sarawak tidak boleh menjadi pemerhati semata-mata, kita perlu menjadi peserta yang aktif,” ujarnya.
Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) akan bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam memastikan pematuhan piawaian keselamatan melalui pembangunan rangka kerja peraturan, pelaksanaan projek perintis, peningkatan kesedaran awam serta penguatkuasaan.
Dalam perkembangan berkaitan, MOTS turut meneliti pembentukan koridor perintis altitud rendah di kawasan luar bandar dan separa bandar bagi membolehkan ujian teknologi dilaksanakan secara berfasa.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi asas penting kepada pertumbuhan sektor LAE, termasuk kerjasama strategik dengan institusi akademik dan penyelidikan.
“Institusi seperti Curtin University Malaysia, Swinburne University, i-CATS dan CENTEX memainkan peranan penting dalam menyediakan kepakaran baharu termasuk juruterbang dron, jurutera, perancang ruang udara serta profesional keselamatan siber,” jelasnya.
Tambah beliau, dengan perancangan rapi, tadbir urus bersepadu serta sokongan industri dan akademia, Sarawak berupaya menjadi negeri pertama melaksanakan pembangunan LAE secara menyeluruh di Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CAAM dan Curtin University Malaysia atas penganjuran seminar tersebut yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama penyelidikan dan inovasi teknologi penerbangan.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap MOTS Datu Wong Hee Sieng, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Dato Kapten Norazman Mahmud serta Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin University Malaysia Dr Vincent Lee Chieng Chen.-EDISI UKAS