Sarawak Fokus Kelestarian Hutan, Catat RM2.5 Bilion Eksport
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh agenda pengurusan hutan mampan dan pemeliharaan biodiversiti sebagai teras pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan pengurusan hutan lestari termasuk pensijilan hutan wajib serta program konservasi menjadi pendekatan utama dalam memastikan kekayaan biodiversiti negeri terus terpelihara.
Menurut beliau, Sarawak yang kaya dengan flora dan fauna memerlukan pengurusan hutan yang cekap dan bersepadu agar sumber semula jadi tersebut terus menyumbang kepada keseimbangan ekologi serta pembangunan ekonomi negeri.
“Negeri Sarawak amat kaya dengan biodiversiti dan sebab itu kita perlu meningkatkan pengurusan hutan serta melaksanakan program konservasi secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Jabatan Hutan yang berlangsung di Wisma Sabati, di sini, pada Selasa.
Datuk Amar Awang Tengah turut menyatakan rasa bangga terhadap penganjuran majlis berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting dalam merapatkan hubungan antara Jabatan Hutan Sarawak dan agensi lain.
“Saya amat bangga dengan penganjuran majlis ini kerana ia dapat merapatkan hubungan antara Jabatan Hutan dan juga agensi-agensi lain,” ujarnya.
“Sehingga kini, kawasan perlindungan sepenuhnya (Totally Protected Areas) telah mencecah kira-kira 2.1 juta hektar, manakala Hutan Simpan Kekal (Permanent Forest Estate) diwartakan hampir 4 juta hektar,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan jelasnya, nilai eksport produk kayu Sarawak bagi 2025 mencatatkan kira-kira RM2.5 bilion dengan jumlah eksport sebanyak 1.4 juta meter padu.
Pada masa sama, nilai import direkodkan sekitar RM245 juta melibatkan jumlah import sebanyak 241,000 meter padu, bagi menyokong aktiviti nilai tambah industri berasaskan kayu.
Selain itu, pengeluaran kayu balak turut direkodkan sebanyak 277,427 meter padu bagi Januari 2026 (hutan semula jadi) dan 79,509 meter padu bagi Februari 2026 (hutan tanaman).
Tambahnya, kerjasama erat antara Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak serta agensi berkaitan perlu terus diperkasa bagi memastikan penguatkuasaan dan pelaksanaan dasar perhutanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Mengenai majlis tersebut, beliau berkata ia turut menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara agensi kerajaan serta pemegang taruh dalam memperkukuh hala tuju pengurusan hutan secara mampan di Sarawak.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab
Jurugambar: Ibanez & George S.Embie