Kebakaran Terbuka Terkawal, Tiada Jerebu di Sarawak
KUCHING: Kejadian kebakaran terbuka yang dilaporkan di beberapa kawasan di Sarawak ketika ini masih terkawal dan belum menjejaskan kualiti udara negeri.
Pengawal Kualiti Alam Sekitar NREB, Datu Jack Liam berkata, pemantauan berterusan sedang dilaksanakan susulan beberapa kes kebakaran yang dikesan sejak seminggu lalu.
Menurut beliau, antara kawasan terlibat ialah Kuala Tatau, Sibu dan Penasu, dengan kebakaran di Sibu telah berjaya dipadam sepenuhnya susulan hujan, manakala operasi pemadaman masih giat dijalankan di Penasu.
“Setakat ini keadaan masih terkawal dan belum menyebabkan berlakunya jerebu di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Jabatan Hutan di Wisma Sabati, di sini, pada Selasa yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Tambahnya, Sarawak kini berada dalam fasa peralihan monsun yang masih menerima hujan, sekali gus membantu mengurangkan risiko penularan kebakaran serta pembentukan jerebu.
Dalam pada itu, siasatan oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang terlibat.
“Sekiranya terdapat pihak yang didapati bersalah, tindakan tegas akan diambil di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 1958,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kebakaran yang berlaku dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia termasuk kemungkinan melibatkan pekebun kecil, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pematuhan terhadap peraturan bagi mengelakkan kejadian kebakaran terbuka yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam.
Pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan insiden seumpama itu dapat dikawal secara berkesan.- EDISI UKAS