Gong Xi Raya UTS Semarak Perpaduan Kampus, Contoh Keharmonian Nasional
SIBU: Penganjuran sambutan Gong Xi Raya oleh Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dilihat sebagai manifestasi nyata semangat perpaduan kaum dan agama yang terus subur, selari dengan aspirasi keharmonian nasional.
Naib Canselor UTS, Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, gabungan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina itu bukan sekadar acara perayaan, sebaliknya mencerminkan kekuatan nilai kebersamaan yang telah lama menjadi amalan masyarakat majmuk di Sarawak.
Menurut beliau, pendekatan meraikan kepelbagaian budaya secara inklusif mampu memperkukuh integrasi sosial, khususnya dalam kalangan generasi muda di institusi pengajian tinggi.
“Program seperti ini berperanan sebagai platform menyatukan warga kampus daripada pelbagai latar belakang, sekali gus menyemai semangat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya berucap pada majlis berkenaan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa musim perayaan perlu dimanfaatkan sebagai ruang mempererat silaturahim, selain memupuk nilai murni seperti toleransi, empati dan kesediaan untuk saling memaafkan.
Dalam konteks persekitaran kerja dan pembelajaran katanya, perbezaan pandangan adalah perkara biasa namun boleh diurus secara matang melalui komunikasi berkesan dan sikap saling menghormati.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana meriah dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan tarian kebudayaan, pertandingan Raja dan Ratu Pakaian Tradisional serta acara cabutan bertuah yang menceriakan warga kampus.
Penganjuran Gong Xi Raya itu sekali gus memperlihatkan peranan institusi pendidikan sebagai pemangkin kepada pengukuhan perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.- EDISI UKAS