Datuk Dr Khairuddin Pikul Peranan Baharu Perkasa Universiti Milik Kerajaan Sarawak
SIBU: Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid bakal dilantik sebagai pegawai khas di Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak selepas tamat tempoh perkhidmatan beliau sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada Selasa.
Beliau berkata, hasrat pelantikan tersebut dinyatakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, semasa kunjungan hormat beliau di Kuching, semalam.
“Saya hadir menemui Premier Sarawak semalam (Isnin) untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan sepanjang tempoh perkhidmatan saya, namun hasil pertemuan itu berbeza daripada jangkaan apabila Premier meminta saya untuk terus berkhidmat dalam kapasiti baharu.
“Peranan saya nanti termasuk membantu mengurus institusi pendidikan bersama Yayasan Sarawak serta memantau sektor pendidikan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Naib Canselor UTS kepada Profesor Ir Ts Dr Mohd Shahril Osman yang akan memangku jawatan tersebut berkuat kuasa 1 April.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Khairuddin berkata, tanggungjawab baharunya merangkumi penyelarasan universiti milik penuh Kerajaan Sarawak termasuk UTS, Universiti Curtin, Universiti Swinburne dan Kolej Universiti i-CATS.
Sepanjang menerajui UTS selama lapan tahun dua bulan, beliau berjaya mencatat pelbagai pencapaian signifikan termasuk menaik taraf institusi itu daripada kolej universiti kepada universiti penuh pada tahun 2020.
Selain itu, jumlah pelajar turut meningkat daripada kira-kira 1,700 kepada lebih 5,000 orang, sekali gus memperkukuh kedudukan UTS sebagai institusi pendidikan tinggi yang semakin berkembang.
Beliau turut menekankan bahawa UTS kini tidak lagi dilihat sebagai institusi yang tertumpu kepada komuniti setempat apabila kira-kira 60 peratus pelajarnya terdiri daripada pelajar dari luar Sibu.
Di peringkat antarabangsa, UTS juga berjaya memperluas rangkaian kerjasama melibatkan pelbagai negara termasuk di Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.
“Dalam mana-mana organisasi, saya berharap telah melakukan yang terbaik untuk membina asas kukuh bagi pertumbuhan masa depan.
“Pemimpin datang dan pergi, namun organisasi dan warganya perlu kekal kuat serta dinamik,” katanya.- EDISI UKAS