MDLBS Ikrar Tingkat Penyampaian Perkhidmatan, Pendekatan Lebih Proaktif
SIBU: Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai berikrar untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan dengan pendekatan lebih proaktif dalam menangani isu rakyat.
Beliau menyifatkan pelantikan semula sebagai Pengerusi MDLBS bagi tempoh setahun sebagai satu penghormatan serta amanah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ini merupakan peluang bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk kita semua bergerak maju bersama.
“Saya telah berada di sini hampir sembilan tahun, menghampiri sepuluh tahun, dan sepanjang tempoh ini, saya sentiasa percaya bahawa ini bukan sekadar satu pekerjaan atau pelantikan, tetapi satu usaha kolektif di bawah MDLBS,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Pengerusi bagi tempoh 1 April 2026 hingga 31 Mac 2027 yang berlangsung di pejabat MDLBS di Wisma Sanyan, pada Selasa.
Sempurai berkata, keutamaan kini adalah meningkatkan mutu perkhidmatan majlis, sesuatu yang menurutnya sering ditekankan setiap tahun, namun perlu diterjemahkan dengan tindakan lebih berkesan di lapangan.
“Masyarakat dalam kawasan pentadbiran MDLBS kini meletakkan harapan lebih tinggi, justeru ahli majlis perlu lebih peka terhadap isu di peringkat akar umbi.
“Kita perlu lebih turun padang dan memahami isu di lapangan. Banyak perkara sebenarnya boleh diselesaikan lebih awal jika kita bertindak pada peringkat awal,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa segala pelaksanaan projek dan perkhidmatan perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan, meskipun terdapat jangkaan tinggi daripada orang ramai terhadap keupayaan majlis.
Dalam pada itu, Sempurai berkata peningkatan elaun ahli majlis oleh kerajaan negeri mencerminkan penghargaan terhadap sumbangan mereka, namun pada masa sama menuntut komitmen kerja yang lebih tinggi.
“Kita perlu bekerja lebih keras bersama, khususnya dalam MDLBS,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau mengakui cabaran berkhidmat di MDLBS adalah berbeza berbanding majlis lain, khususnya kerana melibatkan kawasan bandar dan separa bandar.
Katanya, pengalaman hampir sedekad bersama majlis itu membantu beliau dan pasukan menyesuaikan diri dengan keperluan komuniti, termasuk di kawasan luar bandar.
“Penambahbaikan tidak berlaku dalam sehari. Ia memerlukan masa dan pemahaman terhadap situasi sebenar di lapangan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Pengerusi MDLBS Wong Ching Yong. - EDISI UKAS