Koperasi Luar Bandar Perlu Transformasi Digital, Tangani Isu Tadbir Urus
SERIAN: Sektor koperasi khususnya di kawasan luar bandar perlu segera melaksanakan transformasi digital serta memperkukuh tadbir urus bagi memastikan ia terus relevan dan berdaya saing dalam landskap ekonomi semasa.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, koperasi mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi komuniti namun masih banyak yang berada dalam kluster mikro dengan perolehan tahunan di bawah RM200,000.
Menurutnya, koperasi di Sarawak berdepan pelbagai cabaran termasuk isu tidak aktif, kegagalan mengemukakan laporan kewangan serta kelemahan tadbir urus.
“Malah, sebanyak 61 koperasi luar bandar di Sarawak telah dibatalkan pendaftaran antara tahun 2023 hingga 2025 sebagai langkah memperkukuh sektor ini,” katanya ketika merasmikan Program Jom@Coop anjuran Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak di Hotel Roxy Serian pada Selasa.
Tambahnya, pendigitalan merupakan antara peluang utama yang perlu dimanfaatkan koperasi, termasuk penggunaan sistem pengurusan berkomputer dan pembayaran tanpa tunai bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Beliau turut menggalakkan koperasi meneroka ekonomi hijau seperti pertanian organik, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa sebagai sumber pertumbuhan baharu.
Dalam pada itu, Datuk Willie menegaskan, koperasi berpotensi menjadi pemacu ekonomi komuniti dengan menyediakan peluang pekerjaan serta mengagihkan keuntungan secara lebih adil kepada anggota.
Beliau turut menyeru generasi muda agar lebih aktif menyertai koperasi serta memanfaatkan pelbagai program latihan yang disediakan oleh IKMa sepanjang tahun 2026. -EDISI UKAS