SIMANGGANG: Dua persatuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM30,000.
Simanggang Gators Volleyball Club menerima peruntukan terbesar berjumlah RM25,000 bagi menyokong pembangunan sukan dan penglibatan belia, manakala Persatuan Penternak Burung Walit Simanggang menerima RM5,000 bagi memperkukuh aktiviti ekonomi setempat.
Cek peruntukan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis dalam satu majlis di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Simanggang baru-baru ini.
Menurut beliau, MRP merupakan antara instrumen penting Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan sosial dan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
Jelasnya, selain MRP, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek infrastruktur seperti pembinaan jambatan konkrit, jalan desa serta baik pulih rumah panjang.
Tambahnya, usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat di DUN Simanggang agar terus menyokong pelaksanaan projek RTP supaya manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi akan datang.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan ‘duit raya’ kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) komuniti Melayu, pengerusi masjid serta pengerusi surau bagi menyokong penganjuran aktiviti komuniti sepanjang musim perayaan.-EDISI UKAS