Lawatan Pemantauan IAC Lawas Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan
LAWAS: Usaha memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di utara Sarawak terus diperkasa melalui pelaksanaan projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Lawas yang dijangka memberi kemudahan menyeluruh kepada rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, projek IAC Lawas merupakan inisiatif strategik kerajaan Sarawak dalam menyediakan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang bakal menempatkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan di bawah satu bumbung.
“Melalui pelaksanaan projek ini, rakyat tidak lagi perlu berurusan di pelbagai lokasi berasingan, sebaliknya dapat mengakses perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah, cepat dan sistematik,” jelasnya semasa mengadakan lawatan pemantauan ke tapak cadangan projek berkenaan, pada Rabu.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau status semasa tapak selain memastikan setiap perancangan pembangunan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi serta garis masa yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa pembangunan pusat berkenaan bukan sahaja memberi kemudahan kepada orang ramai, malah meningkatkan kecekapan operasi sektor awam melalui penyediaan persekitaran kerja yang lebih moden dan kondusif.
Pada masa sama, projek tersebut ujarnya dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi setempat, sekali gus berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan bandar yang lebih tersusun di Lawas.
“Lawatan pemantauan seperti ini amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan teliti, menepati objektif serta memberi manfaat langsung kepada rakyat,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh negeri termasuk kawasan utara, demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latip serta Pengarah Unit Sumber Manusia Negeri (SIMU), Sapiah Daud.-EDISI UKAS