Penduduk Taman Clean Suarakan Kebimbangan Keselamatan Laluan Selepas Projek Naik Taraf
BINTULU: Kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan keselesaan penduduk menjadi tumpuan susulan perubahan laluan masuk utama di Taman Clean di sini yang dikecilkan selepas pelaksanaan projek naik taraf longkang di kawasan berkenaan.
Perubahan daripada tujuh meter kepada lima meter itu didakwa menjejaskan pergerakan kenderaan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan terutama di kawasan berhampiran longkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, maklum balas yang diterima daripada penduduk menunjukkan kesukaran yang dihadapi dalam urusan keluar masuk harian.
“Penduduk memaklumkan bahawa laluan asal telah dilebarkan kepada tujuh meter sebelum ini bagi tujuan keselamatan dan kemudahan, namun kini kembali kepada lima meter selepas projek dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan tapak bersama wakil Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), kontraktor serta penduduk di kawasan tersebut, pada Rabu.
Menurutnya, situasi berkenaan menggambarkan keperluan untuk menilai semula pendekatan pelaksanaan projek agar selari dengan keperluan semasa masyarakat setempat.
Katanya, pelaksanaan berdasarkan pelan lama tanpa mengambil kira perubahan semasa boleh menimbulkan pelbagai isu termasuk kesesakan, risiko keselamatan serta ketidakselesaan pengguna.
“Pendekatan lebih praktikal dan berorientasikan rakyat perlu diberi penekanan supaya setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk,” ujarnya.
Justeru beliau berharap semua pihak terlibat dapat memperhalusi isu berkenaan dan mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk terus terpelihara.-EDISI UKAS