PADAWAN: Komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar terus terbukti apabila sejumlah hampir RM700,000 dana pembangunan diluluskan bagi Kampung Annah Sadir, sekali gus meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan penduduk setempat.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM200,000 diperuntukkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaik taraf infrastruktur dan fasiliti Gereja ‘GoodNews Fellowship’ Kampung Annah Sadir, manakala hampir RM500,000 lagi melibatkan pelbagai projek pembangunan infrastruktur awam yang telah diluluskan sepanjang tahun 2025.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, peruntukan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pembangunan inklusif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek berkenaan bukan sahaja memberi impak kepada Kampung Annah Sadir dan Annah Rais, malah turut dinikmati oleh kampung sekitar seperti Kampung Simuti, Kampung Sibakar dan Kampung Sibuang.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Kebaktian Minggu Paskah dan Pemberkatan Beras Baru di Gereja ‘GoodNews Fellowship’ Kampung Annah Sadir, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Jerip turut memaklumkan bahawa projek pembinaan jalan raya dari Tepoi ke Sadir dengan kos berjumlah RM250 juta telah diluluskan, sekali gus dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sosioekonomi serta meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa nilai kepercayaan, kesatuan dan sokongan masyarakat merupakan asas penting dalam memastikan setiap usaha pembangunan yang dirancang dapat direalisasikan dengan jayanya.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS