SIMANGGANG: Pembangunan modal insan dilihat sebagai usaha kemajuan terbesar untuk penduduk dalam negeri ini yang telah dibawa oleh kerajaan pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, salah satu usaha terkini pembangunan modal insan yang dilaksana oleh Kerajaan Sarawak adalah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang berkuat kuasa tahun ini.
"Melalui FTES, Kerajaan Sarawak akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak Bumi Kenyalang di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik negeri serta menyediakan elaun sara hidup sehingga RM15,000 setahun bagi pelajar yang layak.
"Usaha ini akan meningkatkan akses pendidikan tinggi untuk anak-anak kita tanpa beban kewangan, memperkukuh modal insan agar tenaga kerja tempatan lebih berkemahiran dan seterusnya menyokong aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jom Berjarah Rayo 2026 anjuran Jawatankuasa Gabungan Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Sri Aman, dekat sini, malam tadi.
Selain itu, Shafizan pada ucapannya juga menekankan bahawa pendidikan yang baik adalah merupakan jalan keluar untuk penduduk khususnya dari kampung atau rumah panjang dalam negeri ini bagi mencapai kehidupan lebih baik.
"Saya menyeru ibu bapa agar memberi motivasi kepada anak-anak untuk mencapai prestasi akademik yang cemerlang di sekolah dan seterusnya merebut peluang melanjutkan pengajian ke IPT di bawah FTES," katanya.
"Sedarlah bahawa, pendidikan tetap menjadi jambatan utama yang akan membawa anak-anak kita ke masa depan yang lebih cerah seiring dengan projek pembangunan fizikal yang dilaksana oleh Kerajaan Sarawak dari semasa ke semasa," katanya.
Shafizan pada ucapannya juga turut menambah bahawa projek Jambatan Batang Lupar II yang dijangka siap pada Jun ini akan dapat memberi limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya di kawasan Sri Aman.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Temenggung Mohamad Shah Achang, Temenggong Kueh Aik Seng, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Penghulu Rusli Ana dan Penghulu Zamahari Morshidi. -EDISI UKAS