Semangat Aidilfitri Satukan Komuniti Penduduk Ulu Gedong
GEDONG: Semangat Aidilfitri terus menyemarakkan perpaduan apabila Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee turun padang menyantuni komuniti Zon Ulu Gedong dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan, pada Ahad.
Majlis ramah tamah yang berlangsung meriah itu menghimpunkan penduduk pelbagai lapisan masyarakat sekali gus mencerminkan keharmonian serta hubungan erat yang terus dipupuk di peringkat akar umbi.
Kehadiran beliau turut disambut mesra oleh para hadirin yang tidak melepaskan peluang beramah mesra, bertanya khabar serta berkongsi pandangan dalam suasana santai.
Dalam pada itu, Rodiyah turut menceriakan sambutan dengan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dan warga emas sebagai tanda keprihatinan serta usaha berkongsi kegembiraan Aidilfitri.
Program seumpama ini bukan sahaja menghidupkan kemeriahan perayaan, malah menjadi platform penting merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di samping menyemai nilai perpaduan, kasih sayang serta semangat kebersamaan dalam komuniti.-EDISI UKAS