MBM Diseru Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan Berteraskan Rakyat
MIRI: Ahli Majlis Bandaraya Miri (MBM) diseru terus memacu perkhidmatan berteraskan rakyat dengan menjunjung integriti tinggi dalam setiap pelaksanaan tugas, sejajar dengan peningkatan jangkaan masyarakat terhadap kualiti tadbir urus pihak berkuasa tempatan (PBT) masa kini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, peranan sebagai Ahli Majlis bukan sahaja menuntut komitmen yang tinggi, malah menjadikan mereka cerminan standard kepimpinan PBT yang wajar dicontohi di peringkat nasional.
Menurut beliau, status Miri sebagai salah satu daripada kira-kira 20 bandar raya di Malaysia meletakkannya dalam kelompok penting yang sentiasa menjadi perhatian umum.
“Hari ini, masyarakat lebih peka dan kritikal serta mengharapkan perkhidmatan yang cekap dan telus. Kita bukan lagi berada pada era 1970-an atau sedekad lalu.
“Pada tahun 2026, jangkaan rakyat semakin tinggi. Kita perlu bekerja lebih keras, bersikap telus dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Semula Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang di Dewan Utama MBM, pada Ahad.
Datuk Amar Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan, Ahli-Ahli MBM perlu mengekalkan integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan.
Mengulas pelantikan semula Adam Yii sebagai Datuk Bandar Miri, beliau menyifatkan kesinambungan kepimpinan sebagai faktor penting dalam memastikan perancangan pembangunan bandar dilaksanakan secara konsisten.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pembangunan bandar bukanlah tanggungjawab Datuk Bandar semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kakitangan majlis, ahli majlis, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting, Residen Bahagian Miri Galong Luang serta Timbalan Datuk Bandar Miri Ariffin Mohamad.-EDISI UKAS