Lawatan Kerja SUK Sarawak Pastikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Limbang Lancar, Projek Strategik Dipantau
LIMBANG: Pendekatan pemantauan menyeluruh dan penyelarasan bersepadu terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan Program Sarawakku Sayang serta projek pembangunan strategik di Bahagian Limbang berjalan lancar dan memberi impak maksimum kepada rakyat.
Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan (SUK) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah mengadakan lawatan kerja ke tapak Program Sarawakku Sayang di Kompleks Sukan Limbang sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penyelarasan Program Sarawakku Sayang Bahagian Limbang Bil.2/2026 pada Ahad.
Lawatan tersebut bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan penganjuran program yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 12 April ini di samping memastikan setiap perancangan dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Program Sarawakku Sayang Bahagian Limbang dijangka menampilkan pelbagai pengisian melibatkan pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan, Limbang Kitchen dan gerai jualan, konsert rakyat, Malam Budaya Sarawak serta aktiviti sukan yang menyasarkan penyertaan menyeluruh komuniti setempat.
Majlis perasmian program tersebut dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 11 April ini.
Selesai lawatan tapak, beliau seterusnya mempengerusikan mesyuarat penyelarasan yang menekankan kepentingan komitmen tinggi semua jawatankuasa terlibat serta keperluan perancangan rapi bagi menjamin kelancaran penganjuran program berskala besar itu.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan strategik di sekitar Limbang, termasuk Projek Perumahan Rangau Valley yang melibatkan pembinaan 128 unit rumah teres dan berkembar dua tingkat serta Projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang.
Beliau menegaskan bahawa pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek penyediaan infrastruktur berkualiti serta peningkatan taraf hidup komuniti setempat.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Sapiah Daud, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak Datu Hamdan Sharbini, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Residen Bahagian Limbang Unus Tambi. -EDISI UKAS