BETONG: Semangat muafakat dan kerjasama dalam kalangan masyarakat terus menjadi asas penting dalam membina komuniti yang harmoni dan sejahtera di Kampung Manggut.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, perpaduan yang kukuh perlu diperkasakan melalui penglibatan aktif semua lapisan masyarakat termasuk kepimpinan kampung.
Menurut beliau, peranan penghulu, ketua kampung dan ketua ranting amat signifikan dalam memastikan kebajikan penduduk terus terbela serta keharmonian kampung dapat dikekalkan.
“Majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuh semangat kebersamaan serta rasa tanggungjawab terhadap pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Kampung Manggut yang berlangsung di Dewan Sri Saribas Manggut, pada Ahad.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas turut mengakui terdapat beberapa cabaran yang masih dihadapi penduduk termasuk isu bekalan air, namun yakin ia dapat ditangani melalui kerjasama berterusan semua pihak.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu menegaskan bahawa nilai perpaduan perlu terus dipelihara dalam setiap lapisan masyarakat, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Sarawak.
Beliau turut menyifatkan penganjuran majlis Aidilfitri sebagai simbol keharmonian yang menjadi identiti unik negeri ini, di samping menyentuh usaha kerajaan dalam menangani cabaran kos sara hidup.-EDISI UKAS