Gelanggang Futsal Baharu Kampung Baru Siap, Tingkat Gaya Hidup Sihat Komuniti
DARO: Penduduk Kampung Baru kini menikmati kemudahan sukan lebih selesa apabila sebuah gelanggang futsal baharu siap dibina di bawah Projek Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, penyediaan kemudahan seperti gelanggang futsal bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti kampung.
“Pembangunan infrastruktur sukan seperti ini amat penting dalam membentuk masyarakat yang aktif, berdisiplin serta bersatu padu,” katanya semasa majlis perasmian projek tersebut pada Sabtu.
Kemudahan bernilai RM380,000 itu dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Daro sebagai agensi teknikal, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kemudahan sukan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup serta Jurutera Daerah JKR Daro Faizol Hashim.-EDISI UKAS