Pembangunan Pesat Daro Pacu Kemajuan & Peluang Ekonomi
DARO: Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi secara berterusan oleh kerajaan terus memacu kemajuan kawasan Daro serta membuka peluang lebih luas kepada masyarakat setempat meningkatkan taraf hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, perkembangan tersebut menuntut penduduk agar lebih proaktif dan bersedia merebut peluang yang tersedia, khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan.
“Seiring dengan kemajuan yang sedang rancak berlaku di Daro, masyarakat dan penduduk setempat perlu lebih peka serta pantas merebut peluang yang tersedia, khususnya dalam aspek pendidikan dan Kesihatan.
“Ibu bapa juga disaran agar memberi penekanan terhadap pendidikan anak-anak supaya mereka dapat meningkatkan keupayaan diri dan seterusnya mampu bersaing dalam arus pembangunan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1447H/2026M Kampung Badong yang berlangsung di Dewan Bedu Sana, di sini, baru-baru ini.
Dalam majlis sama, Dr. Safiee turut menyampaikan sumbangan berjumlah keseluruhan RM14,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Badong serta Persatuan Pembangunan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Kampung Badong bagi menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Guru Besar SK Hijrah Badong Jamali Kadir, Penghulu Bahiri Selakong, Penghulu Jebli Ngok, Penghulu Abu Bakar Salleh serta Ketua Kaum Haslimi Hassan.-EDISI UKAS