MPI Disaran Perkukuh Peranan Ke Arah Institusi Bertaraf Universiti Penuh
SIBU: Kerajaan Sarawak menggesa Methodist Pilley Institute (MPI) untuk tidak sekadar berpuas hati dengan status sedia ada, sebaliknya melangkah lebih jauh bagi menjadi sebuah universiti penuh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, usaha meningkatkan status MPI ke arah sebuah universiti penuh adalah langkah strategik dalam memperkasakan sektor pendidikan tertiari negeri.
Beliau menegaskan, MPI mempunyai potensi besar untuk berkembang melalui kerjasama lebih erat dengan kerajaan negeri.
"Saya mahu anda menjadi universiti penuh. Mengapa perlu berpuas hati dengan apa yang ada sekarang? Mari kita bekerjasama dan melihat bagaimana kerajaan boleh menyokong usaha ini.
"Kita tidak boleh membina Sarawak sendirian, sebaliknya memerlukan penyatuan semua pihak. Kita mesti membina asas kukuh supaya generasi muda dapat terus berjaya dan meneruskan perjuangan kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-35 MPI yang berlangsung di sini, pada Ahad.
Datuk Amar Profesor Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menyifatkan visi MPI sebagai "mendahului zaman" kerana sudah menyediakan pendidikan tertiari sejak 35 tahun lalu, jauh sebelum ia menjadi keutamaan dasar semasa Sarawak.
Malah, beliau mengaitkan kecemerlangan itu dengan usaha Sarawak memperkukuh autonomi pendidikan negeri selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia.
"Pendidikan tertiari yang anda sediakan adalah di hadapan zamannya dan kini, Sarawak sedang belajar daripada pengalaman anda," jelasnya.
Mengimbas sumbangan sekolah mubaligh, Dr Sim berkata institusi sedemikian terbukti berjaya melahirkan bakat besar, termasuk barisan kepimpinan tertinggi negeri.
Beliau mendedahkan, sejak penubuhan Malaysia pada 1963, kesemua enam individu yang pernah dan sedang menjawat jawatan Ketua Menteri (kini disebut Premier) adalah lulusan sekolah mubaligh, iaitu Sekolah St Joseph.
"Dalam tempoh 35 tahun, MPI bukan sekadar menyediakan ijazah, tetapi melahirkan graduan beretika dan bertanggungjawab. Inilah sebabnya graduan anda mendapat permintaan tinggi kerana disiplin dan integriti yang diterapkan," katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden Lembaga Pengarah Sarawak Chinese Annual Conference (SCAC) Lau Hui Ming serta Pengerusi Lembaga Pengarah MPI Paul Wong Hee Kwong.-EDISI UKAS