Filem ‘Jangkar’ Angkat Sejarah Perjuangan Sarawak, Suntik Kesedaran Generasi Ini
KUCHING: Kisah getir era ancaman komunis yang pernah mencorakkan sejarah Sarawak bakal dihidupkan semula menerusi filem ‘Jangkar’, sekali gus mengangkat naratif pengorbanan dan perjuangan wira sebagai ingatan bermakna buat generasi hari ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penghasilan filem tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi medium strategik dalam menyampaikan mesej kesedaran, penghargaan serta tanggungjawab terhadap sejarah negara.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui kementeriannya menyokong inisiatif berkenaan kerana berupaya memupuk semangat kebangsaan, mengangkat nilai budaya dan sejarah, selain memperkukuh mesej perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Dalam masa yang sama, ia menyumbang kepada pembangunan industri kreatif Sarawak sebagai salah satu sektor ekonomi yang
berpotensi besar.
“Lebih penting, filem ini mencipta kesedaran tentang peristiwa yang berlaku 54 tahun yang lalu. Ia mengingatkan kita bahawa keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan wira-wira yang telah gugur. Filem ini bukan sekadar tentang sejarah, ia adalah tentang kesyukuran, ingatan dan tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Doa Selamat dan Perasmian Mula Penggambaran Filem ‘Jangkar’ di sini, pada Isnin.
Turut hadir penerbit filem yang juga pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG), Datuk David Teo.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak optimis pemilihan beberapa lokasi menarik di Sarawak sebagai set penggambaran mampu mempromosikan keindahan negeri ini, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan.
Filem ‘Jangkar’ merupakan hasil kolaborasi antara Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersama Metrowealth International Group (MiG Pictures).
Penggambaran filem tersebut dijadual bermula pada Selasa dan dijangka mengambil masa sekitar 45 hari.
Ia diarahkan oleh Jason Chong dengan pengarah aksi, Ayez Shaukat.
Antara barisan pelakon utama ialah Yusof Hashim sebagai Ismail, Dato Tamimi Siregar sebagai Haji Rahim, Fikry Ibrahim sebagai Leftenan Rahim, Noki sebagai Renjer Aslam serta Aniq Durar sebagai Koperal Haris.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Douglas Demong & Nur Nabilla