Perpaduan & Semangat Kebersamaan Terus Diperkukuh Sempena Aidilfitri
MUKAH: Masyarakat diseru agar terus memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam suasana sambutan Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, Aidilfitri bukan sekadar diraikan dengan kemeriahan, sebaliknya menjadi medan terbaik untuk mengeratkan silaturahim, saling bermaafan serta menyemai nilai keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Majlis seperti ini amat penting sebagai platform untuk kita berkumpul, beramah mesra dan mengukuhkan semangat kekitaan yang menjadi asas kepada kesejahteraan komuniti,” katanya ketika berucap semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1447H di Kampung Tutus Hilir, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Aidilfitri melambangkan kemenangan umat Islam selepas sebulan menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan.
Abdul Yakub menyeru agar nilai-nilai murni seperti kesabaran, keinsafan dan keprihatinan yang dipupuk sepanjang Ramadan terus diamalkan dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat gotong-royong dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Tutus Hilir dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan.
Menurutnya, keakraban yang ditonjolkan membuktikan bahawa kesatuan hati mampu memudahkan pelaksanaan sesuatu usaha serta memastikan kejayaannya.
Beliau menyeru agar masyarakat terus memelihara nilai saling menghormati, tolong-menolong dan bertolak ansur demi memastikan keharmonian berkekalan.
Hadir sama Penghulu Besiri Keri, Ketua Kaum Kampung Tutus Hilir Zaffari Bohari serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Mukah Christhoper Maurice.-EDISI UKAS