MIRI: Taman rekreasi di Jalan Mawar, Piasau Jaya bakal dinaik taraf menerusi peruntukan RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi mewujudkan ruang riadah lebih selamat dan inklusif.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, daripada jumlah itu RM100,000 digunakan untuk menaik taraf gelanggang bola keranjang termasuk pemasangan pagar, pembaikan permukaan serta kemudahan pelbagai guna seperti pickleball.
Jelas beliau, baki RM100,000 pula diperuntukkan bagi menaik taraf taman permainan kanak-kanak melibatkan kerja perataan kawasan, pemasangan bangku konkrit dan peralatan baharu seperti buaian serta jongkang-jongket.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan memaksimumkan penggunaan ruang selain meningkatkan keselamatan agar semua lapisan masyarakat termasuk belia dan warga emas dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.
Projek dijangka bermula tahun ini dan bakal memberi nilai tambah kepada komuniti Pujut sebagai ruang interaksi sosial, riadah dan kekeluargaan.
Beliau menegaskan pembangunan kawasan itu akan terus diperkasa secara berterusan demi kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk.-EDISI UKAS